Saturday 26 August 2017

kekuatan dan kelemahan peta minda



1.0 Pengenalan
            Alat berfikir yang menjadi pilihan saya adalah peta minda. Peta minda telah diasaskan oleh Tony Buzan yang berasal dari England. Tony Buzan mendefinisikan peta minda sebagai "kaedah menyimpan, menyusun dan mengutamakan maklumat dalam bentuk grafik dan berangkai menggunakan imej dan kata kunci". Beliau mencipta peta minda pada era 1960-an ketika tidak berpuas hati dengan kaedah lama mencatat nota yang tidak membantu beliau mengulang kaji dan menghafal. Bermula dengan masalah ini, tercetus idea peta minda yang kini digunakan di serata dunia sebagai salah satu kaedah mudah menghafal, mencatat nota dan mengingat. Peta minda merupakan suatu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah - tengah sebagai pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, warna dan sebagainya. Peta Minda juga adalah satu teknik yang digunakan bertujuan untuk membolehkan minda kita menyimpan sesuatu maklumat atau fakta secara lebih kemas. Teknik ini memerlukan kita menggabungkan beberapa keperluan seperti warna, gambar, garisan dan lain lain lagi.
2.0 Kelebihan alat berfikir
            Antara kelebihan apabila menggunakan peta minda sebagai alat berfikir ialah mudah melihat perkaitan antara satu perkara dengan perkara yang lain. Contohnya, apabila kita melakar peta minda semasa sesi pembelajaran di sekolah mahupun di rumah, secara tidak langsung kita telah membuat banyak perkaitan hanya dengan satu kata kunci. Hal ini kerana, kita dapat melihat secara keseluruhan dengan mata kasar kita tentang sesuatu topik. Dengan menggunakan peta minda sebagai alat berfikir, para pelajar akan lebih mudah faham terhadap satu pelajaran. Semuanya berhubung kait sekaligus memudahkan kita untuk lebih mengingat dan menghafal. Di samping itu, peta minda sangat baik untuk membuat rumusan topik. Ramai dalam kalangan pelajar berpendapat bahawa sukar bagi mereka untuk membuat rumusan bagi satu topik yang terkandung di dalam buku dan disimpan di dalam memori minda. Ayat-ayat yang digunakan di dalam buku adalah panjang-panjang menyukarkan mereka untuk membuat kesimpulan ringkas. Dengan adanya peta minda, para pelajar dapat membuat rumusan topik menjadi lebih ringkas dan padat. Peta minda ini dilihat mampu memberi impak yang sangat baik kepada memori minda seseorang terutamanya pelajar.
           Selain itu, peta minda memudahkan pemahaman terhadap proses pembelajaran. Pada era globalisasi ini, pelajar menghadapi kesukaran memahami isi – isi penting yang terkandung dalam sesebuah buku contohnya buku teks. Hal ini disebabkan oleh ayat-ayat daripada buku dan bahasa-bahasa yang digunakan adalah sukar untuk difahami dan membuatkan pelajar berasa pening. Namun, peta minda ini dapat membantu kita untuk lebih memahami dan mendalami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis buku itu. Hal ini kerana, peta minda hanya menggunakan satu kata kunci dan memberikan cabang pemahaman yang lebih mudah maksudnya.
          Seterusnya, hubungan idea dalam peta minda mudah dikenalpasti kerana dilengkapkan dengan simbol, rajah, bongkah dan warna menarik. Sewaktu berada di universiti pada lingkungan usia 20-an, Buzan mendapati tahap pembelajaran dan memorinya bertambah teruk biarpun lambakan nota yang diperlukan telah disalin. Namun, klimaks pencarian jawapan untuk masalahnya itu berlaku apabila beliau cuba mendapatkan bahan bacaan mengenai fungsi otak di perpustakaan. Sayang sekali, bahan-bahan yang dicari itu tiada dan Buzan sebaliknya diarahkan ke bahagian psikologi oleh pustakawan. Sedar akan ketiadaan bahan bacaan seperti itu dan gagal mengenal pasti punca kepada masalahnya, dia mula mengkaji cara otak berfungsi. Pada ketika itulah baru beliau nampak satu masalah besar pada nota-nota tersebut. "Nota-nota saya nampak tidak berwarna-warni dan bosan! Patutlah saya tidak ingat!" ceritanya kepada Kosmo! sambil mengakui beliau memasang impian untuk menjadi orang yang bijak (Kosmo: 2008). Hal ini jelas menunjukkan bahawa peta minda mempunyai kelebihan yang tersendiri.
           Dalam pada itu, peta minda membantu otak untuk mengatur, mengingat, membandingkan dan membuat hubungan. Hal ini berpunca daripada peta minda menggunakan banyak gambar dan sekaligus menggunakan kedua- dua belah otak kita pada masa yang sama, secara seimbang. Albert Einstein mengatakan bahawa hanya dua perkara sahaja dalam dunia ini yang wujud tiada hadnya, iaitu alam semesta dan otak manusia. Peta minda adalah salah satu sistem yang menggunakan prinsip pengurusan otak bagi membuka semua potensi dan kapasiti otak yang masih tersembunyi. Tambahan pula, peta minda boleh menggabungkan fungsi otak kiri dengan bahagian otak kanan. Mengikut Tony Buzan, kombinasi penggunaan otak kanan dan kiri akan menguatkan lagi daya ingatan manusia. Pelajar sering menggunakan otak kiri untuk menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat. Oleh itu, kaedah menghafal yang hanya melibatkan penggunaan otak kiri mempunyai tempoh ingatan yang kurang efektif. Apabila pelajar ingin membuat nota sewaktu mengulangkaji pelajaran, aspek kombinasi otak kiri dan kanan perlu diambil kira agar ingatan menjadi mudah dan seronok.
           Mengikut seorang penulis Dilip Mukerjea (1996) dalam bukunya bertajuk “Superbrain”, melalui pemetaan minda seseorang itu dapat… “learn MORE, remember MORE, use LESS paper, invest LESS effort…” yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga. Hal ini jelas menunjukkan bahawa peta minda mampu menambahkan ilmu pengetahuan seseorang pelajar.
3.0 Kekurangan alat berfikir
            Terdapat beberapa kekurangan alat berfikir yang saya pilih. Menurut Yuliatul dalam Guspriyanto (2012: 23) menjelaskan bahawa kekurangan daripada catatan linear adalah kata kunci pengingat terpisah oleh jarak. Hal ini wujud akibat daripada cabang- cabang yang menghubungkan antara satu sama lain. Jarak antara kata kunci terpisah menyebabkan banyak waktu pelajar yang terbuang kerana mencari kaitan. Seterusnya, hubungan kata kunci pengingat terputus oleh kata-kata yang memisahkan. Dalam pada itu, waktu terbuang untuk membaca kembali kata-kata yang tidak perlu.
4.0 Penutup  
         Kesimpulannya, peta minda mempunyai lebih banyak kekuatan berbanding kelemahan. Peta minda adalah sistem pembelajaran yang digunakan di seluruh pelusuk dunia. Sistem ini sudah membantu beratus juta penduduk di dunia, mengenali dan menggunakan kemampuan otak berfikir serta belajar pada tahap yang lebih tinggi. Hal ini telah dibuktikan melalui kajian  berdasarkan banyak testimoni dan pengakuan yang sudah dikumpulkan dari seluruh dunia. Meskipun dunia mengakui kehebatan system ini, namun di Asia khususnya di Malaysia, sistem peta minda masih belum digunakan secara meluas, terutamanya dalam bidang pendidikan. Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa, kita hendaklah memanfaatkan peta minda persis peribahasa, ‘sudah terang lagi bersuluh ‘ yang mempunyai banyak kelebihannya. Menurut Tonny Windura (2008), beliau mendapati bahawa peta minda ini masih belum dikenali oleh kebanyakan guru, guru besar, dan tutor. Sehubungan dengan itu, kita hendaklah bersama- sama berganding bahu bagi memastikan peta minda sentiasa digunakan untuk kemudahan bersama.

kekuatan dan kelemahan peta minda

1.0 Pengenalan             Alat berfikir yang menjadi pilihan saya adalah peta minda. Peta minda telah diasaskan oleh Tony Buzan yang...